Pengenalan Kampus UiTM Jasin

Kampus UiTM Jasin merupakan salah satu daripada cawangan Universiti Teknologi MARA yang terletak di negeri Melaka, Malaysia. UiTM Kampus Jasin mula dibina selepas majlis pecah tanahnya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 Februari 2011. Pembinaan kampus ketiga akan menjadikan ketiga-tiga daerah di Melaka memiliki kampus UiTM. Daerah Melaka Tengah menempatkan Kampus Bandar Raya, Daerah Alor Gajah memiliki Kampus Lendu, manakala Daerah Jasin dibina di atas tapak seluas 218 ekar di Felcra Seri Mendapat.Tawaran kursus berasaskan Sains dan Teknologi di Kampus Jasin akan melengkapkan gabungan kursus yang bukan berasaskan Sains dan Teknologi di Kampus Alor Gajah dan Kampus Bandar Raya. Sebanyak 50% dari keseluruhan jumlah pelajar, iaitu seramai 2,500 orang akan disediakan kemudahan tempat tinggal. Ini bermakna selebihnya iaitu 2,500 orang lagi akan tinggal di luar kampus. Pintu masuk ke Kampus Jasin ini bagi mereka yang memandu menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan adalah melalui pintu masuk ke Merlimau, Jasin dengan melalui Plaza Tol Lipat Kajang. Kampus ini terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandaraya Melaka.